Sabtu, 20 Oktober 2018

MELAWAT KESAN PERADABAN MANUSIA DI BUMI MESIR

Mesir terkenal dengan pelbagai kesan sejarah yang hebat sejak zaman firaun sehinggalah ke zaman republik. Tempoh yang panjang memakan masa ribuan tahun dengan pelbagai ukiran sejarah manusia yang hebat.

Kesan zaman firaun masih kekal hingga kini dengan tersergam  3 buah piramid terkenal dengan jolokan keajaiban dunia. Dari kejauhan nampak tersergam indah ciptaan  manusia dari dinasti firaun. Ianya menjadi lambang kehebatan makhluk Allah yang diberikan kemampuan akal untuk mentadbir bumi dan pada masa yang sama juga menjadi simbol pengajaran kepada manusia beriman bahawa sesuatu kehebatan itu bersandar kepada kuasa Allah jua.
Begitu juga bumi Mesir menjadi tempat sejarah dakwah para Nabi seperti Nabi Musa yang banyak disebut dalam Al-Quran dan juga Nabi Yusuf dan lain lain lagi. Semenanjung Sinai banyak merakam perjalanan dakwah Nabi Musa menghadapi Firaun dan Bani Israil. Banjaran pergunungan Tih dan  Tursina menjadi saksi penting perjalanan Nabi Musa seperti dinukilkan dalam kitab suci AlQuran.

Sejarah Mesir diperhebatkan lagi dengan tersebarnya ajaran islam melalui sahabat Nabi SAW iaitu Amru bin Al Ash dengan penaklukan Mesir di bawah pemerintahan Khalifah Umar bin Al-Khattab. Masjid pertama dibina di Mesir bahkan yang pertama di benua Afrika ialah masjid Amru yang terletak di kota Fustat. 

Antara pusat pengajian tertua di dunia ialah Universiti Al-Azhar yang bermula dari Masjid Al-Azhar dan seterusnya berkembang menjadi universiti terkemuka dunia dalam mempertahankan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah sehingga ke hari ini. 

Pemerintahan islam silih berganti di bumi mesir antara satu pemerintah kepada pemerintah yang lain seperti kerajaan Uthmaniah, Abbasiah, Mamalik, Fatimiah dan akhirnya tumbang dengan raja terakhirnya ialah Raja Farouk 1 di Iskandariah. Diganti pula dengan sistem pemerintahan republik sehingga sekarang.

Sebelum ditakluk oleh kerajaan islam, Mesir pernah diperintah oleh kerajaan Rom selama beberapa ratus tahun. Kesan kerajaan Rom masih ada sehingga hari ini seperti yang terdapat di Iskandariah. Namun dengan kehebatan tentera islam, kerajaan Rom tumbang juga akhirnya di Kota Fayoum yang menjadi benteng terakhir kerajaan Rom Mesir. 

Tiada ulasan: